MAHABBAH DAN UKHUWWAH ITU INDAH

Assalamualaikum W.B.T
Terima kasih atas kesudian singgah ke laman ini. Laman ini adalah wadah untuk saya mengungkapkan informasi, berita, aktiviti yang berkaitan Pertubuhan Pendidikan Ad-Deeniyyah untuk dikongsi bersama para pembaca.

Saya mengalu-alukan sebarang penulisan,wacana pemikiran dan cetusan minda daripada anda untuk dijadikan bahan renungan dalam Jurnal Abadi Ad-Deeniyyah. Wassalam




Followers

Sunday, January 24, 2010

Kota Mekah dan Kaabah




Assalamualikum wbr
Sahabat-sahabatku. Mekah dari sudut sejarah terletak di sebuah lembah yang dikelilingi bukit bukau batu. Tidak ada kehijauan...yang ada kini hanyalah pembangunan pesat di sekeliling kota yang memuatkan hotel-hotel, ruang dan premis perniagaan,projek monorel dan sebagainya. Walaupun suasana agak berdebu kerana kerja-kerja memecahkan bukit batu dijalankan 24 jam, tapi saya lihat bandar ini tidak pernah sunyi daripada laluan hamba-hamba ALLAH SWT yang sentiasa bertali arus ke Majidil Haram. Siang dan malam, pagi hinggalah ke pagi...kota ini hidup dan berbudaya sebagai bukti hamba-hamba ciptaan Allah merindui dan mengasihi Allah. Kaabah yang indah, sejuk berangin dan panas di waktu zohor sentiasa dipenuhi baik di dataran Kaabah, di dalam Masjidil Haram mahupun di dataran luar masjid. Suara muazzin, Iman Abdul Rahman As Sudays, Iman Ahmad Maher bergema menusuk kalbu terutamanya pada waktu maghrib, isyak dan subuh. Aduh..rindunya saya pada suasana di Kaabah yang tidak akan dilupakan seumur hidup saya. Melaksanakan tawaf sunat 7 pusingan juga adalah tanda kita sebagai hamba melaksanakan perintah Allah sambil merasai nikmat bertawaf. Pelbagai bangsa seluruh dunia berhimpun dan berkiblatkan Kaabah. Langit yang terbentang di atas Kaabah sangat mengasyikkan, cantik membiru dan tiada berbintang di waktu malam..hati hamba-hambanya tiada yang lain ketika menghadap Kaabah, hanya mengharap keampunan kepada Pencipta-Nya Yang Maha Agung...Subhanallah. Walhamdulillah Allahu Akbar..

Friday, January 15, 2010

MADINAH MUNAWWARAH BANDAR HABIBBULLAH




Assalamualaikum wbr saudara saudari.
Sedikit catatan untuk dikongsi, kami menjejakkan kami di bumi barakah bandar bersemadinya Habibbullah kekasih Allah pada 1 November 2009. Bandar ini bersih, teratur dan berbaur perasaan apabila mengingatkan di sinilah Nabi besar junjungan S.A.W menegakkan syiar Islam hingga tersebar seluruh alam. Masjid Nabawi yang indah dan mengasyikkan pada waktu malam. Menitis air mata apabila saya menghampiri Makam Rasulullah, sahabat baginda Sayyidina Abu Bakar As Siddik dan Sayyidina Umar Al Khattab. Memasukki Taman Raudah (bilik Aisyah) yang telah dijanjikan oleh baginda Rasulullah sebahagian daripada Taman di Syurga ternyata terpegun seketika. Keharuman wangian yang menusuk kalbu, cerah indah neon berona bergulung dengan perasaan memohon keampunan dan syafaat Nabi. Mengasyikkan...kerana umat Muhammad mengadu rasa dalam pelbagai gaya. Saya sedar semua yang ditunjukkan itu adalah manifestasi kecintaan, kerinduan dan pengabdian hamba kepada pesuruh Allah yang menyampaikan wahyu Allah SWT. Masa yang diberi oleh petugas Masjid Nabawi terlalu singkat. Alhamdulillah, selama 9 hari di Maddinah, saya, Farid dan Amirul dapat berkunjung ke ekspo Pameran kisah Rasulullah. kami menginap di Hotel Moven Pick yang terletak di luar pagar Masjid Nabawi.

Thursday, January 7, 2010

SELAMAT KEMBALI HAJI DAN HAJAH...


Assalamualaikum wbr

Saudara dan saudari yang dikasihi, maaf jua perkataan pertama dihulurkan kerana blog ini terhenti lebih daripada sebulan. Alhamdulillah saya merakamkan kesyukuran yang tidak terhingga atas nikmat Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang mengharap keampunan dan keredhaan kepada Allah empunya Kerajaan Langit, Bumi dan atas segala apa yang diciptakan-Nya...Maha Suci Allah, Allah Maha Besar. Selawat dan Salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad kekasih Allah.


Ya kami selamat sampai di KLIA pada 15 Disember 2009 pada jam 3.30 pagi dengan menaiki penerbangan SV2014. Perjalanan yang membahagiakan setelah delay kira-kira 6 jam. Kami dijadualkan pulang pada jam 7.00 pagi waktu Arab Saudi tetapi kami hanya bertolak pada jam 2 petang. Tiada masalah ketika berada di Terminal Haji, Jeddah cuma menghadapi karenah Pak Arab yang bertugas mengikut sistem mereka. Keseluruhannya, pasukan Tabung Haji banyak membantu jemaah haji Malaysia.


Saya akan mencoret serba sedikit pengalaman kami ketika berada di Kota Madinnah, Mekah Mukarramah, Hari Wukuf di Arafah, Mabit di Mudzalifah, melontar di Mina, melakukan tawaf dan saie di Bukit Safa dan Marwah. Insya-Allah perjalanan ahli-ahli Ad-Deeniyyah ini merupakan memori terindah untuk dikongsi bersama. Wassalam.

Saturday, October 24, 2009

Gotong-royong di Rumah Ad-Deeniyyah


Assalamualaikum wbr. Hari ini 24 Oktober 2009, ahli-ahli Ad-Deeniyyah bergotong-royong membersihkan sekali lagi Rumah Ad-Deeniyyah. Kami membersihkan kawasan dapur, bilik dipasang langsir, membersihkan bilik air dan banyak lagi.Kerja-kerja ini dimulakan kira-kira jam 9.30 pagi. Alhamdulillah, ramai yang membantu. Terima kasih sahabat- sahabat yang budiman. Maaf jua kali ini gambar tidak dapat disertakan kerana laptop, camera dan barang-barang yang bersangkutan dengan kerja-kerja penulisan telah dicuri...
InsyaAllah diizinkan Allah kita akan bertemu lagi dengan Berita Ad-Deeniyyah.

Monday, October 19, 2009

FARDHU HAJI 1430 H

Salam sejahtera. Alhamdulillah setinggi kesyukuran saya panjatkan ke Hadrat Illahi atas kurniaan dan nikmat kehidupan yang diberi kepada kita semua. Tidak dapat digambarkan dengan perasaan dan kata-kata untuk saya memulakan bicara...Saya ingin memaklumkan bahawa pada tahun ini seramai 5 orang ahli-ahli Ad-Deeniyyah akan berangkat menunaikan ibadah haji dan melaksanakan tanggungjawab sebagai umat Islam pada 31 Oktober sehingga 14 Disember 2009. Perjalanan mental dan jiwa ini sesungguhnya, amat kami rasai. Mereka yang dimaksudkan terpilih sebagai TETAMU Allah ialah:
1. Puan Hajjah Wan Salmah Bte Wan Abdullah
2. En Wan Amirul Intizam Bin Wan Zulkifli
3. En Mohamad Farid B Haji Jaafar
4. Puan Noridah Bte Haji Ramlan
5. Puan Rosni Bte Md Din

Pada kesempatan ini, saya memohon maaf zahir dan batin kepada semua individu yang mengenali saya dan suami( Mohamad Farid). Halalkan jua barang yang termakan dan terminum, bergurau senda yang melebihi bicara, janji yang tidak kesampaian dan tidak terlunas. Pada Allah jua saya memohon keampunan atas kelemahan iman dan amal. Insya-Allah. doakan kami memperoleh haji mabrur. Wassalam.

Wednesday, October 14, 2009

Rumah Ad-Deeniyyah dibersihkan...

Salam sejahtera buat semua. Alhamdulillah, kunci rumah Ad-Deeniyyah telah diserahkan oleh Datuk Lee Heng kepada pihak pengurusan Ad-Deeniyyah pada awal Oktober yang lalu. Beberapa perkara yang penting telah dilakukan seperti kerja-kerja pembersihan di dalam dan di luar bungalow tersebut. Pada masa artikel ini ditulis, kerja-kerja tersebut masih berterusan seperti menempah langsir pintu, tingkap, menyediakan ruang pengajian. tempat mengambil wuduk lelaki & wanita serta tidak ketinggalan menyediakan keperluan asrama untuk pembelajaran Tahfiz pada awal bulan November hinggalah seterusnya. Di samping itu, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih atas budi baik rakan-rakan di luar sana yang sudi menginfaq sumbangan kepada kami untuk menyediakan keperluan Rumah Ad-Deeniyyah seberapa yang termampu. Hanya Allah SWT yang membalasnya.

Tuesday, October 6, 2009

Pengajian AlQuran



Sebenarnya pengajian AlQuran oleh ahli-ahli Ad-Deeniyyah telah dimulakan di rumah Puan Wan Salmah semenjak 4 bulan yang lalu. Rakan-rakan, jiran dan anak-anak Kak Wan telah memulakan sesi ini bersama Ustaz Maamun dan Ustaz Aziz. Dalam seminggu mereka telah mengikuti kelas ini sebanyak 4 kali bermula selepas maghrib. Ustaz Maamun merupakan seorang Hafiz dan banyak mempunyai pengalaman membimbing pelajar-pelajarnya menghafaz AlQuran. Insya-Allah atas permintaan rakan-rakan, kelas Hafazan dan Tahfiz AlQuran Surah-surah Pilihan akan dibuka dan dijalankan di Rumah Ad-Deeniyyah pada 1 November ini. Di samping itu, terdapat juga pengajian Kitab, kelas Bimbingan Leadership dan Metafizik untuk golongan kanak-kanak, remaja dan dewasa yang akan dimulakan tidak lama lagi. Insya-Allah.