MAHABBAH DAN UKHUWWAH ITU INDAH

Assalamualaikum W.B.T
Terima kasih atas kesudian singgah ke laman ini. Laman ini adalah wadah untuk saya mengungkapkan informasi, berita, aktiviti yang berkaitan Pertubuhan Pendidikan Ad-Deeniyyah untuk dikongsi bersama para pembaca.

Saya mengalu-alukan sebarang penulisan,wacana pemikiran dan cetusan minda daripada anda untuk dijadikan bahan renungan dalam Jurnal Abadi Ad-Deeniyyah. Wassalam




Followers

Monday, August 9, 2010

AMALAN SEDEKAH & JARIAH





Assalamualaikum wbr.

Saya ingin berkongsi cerita..ketika menunaikan fardhu haji, saya melihat suatu situasi yang sama dan berada di mana-mana pelusuk dunia. Pengemis jalanan samada tua, muda, sihat, cacat kudung tangan dan kaki, malahan anak kecil turut diletakkan di ribaan si ibu untuk menarik perhatian jemaah. Ada pendapat mengatakan golongan ini 'profesional'..sejauhmana pakarnya mereka itu dalam pekerjaan tersebut, hanya Allah yang Maha Mengetahui...kerana saya kira persoalan itu harus dijawab oleh empunya tubuh masing-masing.

Justeru, mari kita bersama-sama menghayati fadhilat bersedekah yang dituntut oleh Allah SWT kepada hamba-Nya.

AMALAN bersedekah yang amat dianjurkan Islam dan akan mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW sentiasa menunjukkan teladan kepada umatnya dalam perbuatan bersedekah. Sabda Rasulullah yang bermaksud, “Jagalah kalian dari neraka, meskipun hanya dengan separuh kurma.’ (Hadis Bukhari). Jelas kepada kita bahawa Islam sangat menekankan kepada amalan bersedekah dan nilai sedekah itu tidaklah hanya tertakluk kepada banyaknya yang dihulurkan seseorang, akan tetapi terletak pada nilai keikhlasan niat di hati.

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang bersedekah sebesar biji kurma dari hasil yang baik dan Allah SWT hanya menerima sesuatu yang baik saja. Nescaya Allah SWT akan menerimanya dengan tangan kanan-Nya, lalu memeliharanya untuk diberikan kepada pemiliknya sebagaimana salah seorang daripada kalian memelihara anak kudanya hingga (pahala sedekahnya itu) menjadi seperti gunung”.
(Hadis Bukhari).

Begitulah indahnya ajaran Islam yang menggalakkan umatnya bersedekah dan Allah SWT sendiri menjamin pahala untuk orang yang mengamalkannya sebagai agenda kehidupan mereka. Menyentuh aspek bersedekah, Islam tidak pernah mengehadkan tempoh masa malahan boleh dilaksanakan pada bila-bila masa saja mengikut kemampuan seseorang. Namun demikian, amalan bersedekah yang paling afdal di sisi Allah SWT ialah ketika bulan Ramadan. Ini dapat kita perhatikan menerusi satu hadis Nabi bermaksud, dari Ibnu Abbas, berkata: “Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawannya pada bulan Ramadan ketika Jibril menemuinya. Jibril biasanya menemuinya setiap malam Ramadan, lalu tadarus al-Quran (dengan Nabi SAW). Sungguh Rasulullah ketika ditemui Jibril menjadi orang yang lebih bermurah hati dalam memberikan kebaikan, sehingga lebih banyak daripada tiupan angin.’ (Hadis Bukhari dan Muslim) Jadi berasaskan kepada hadis itu dapat disimpulkan bahawa kita sebagai umat Islam sangat dituntut dalam membudayakan amalan bersedekah, lebih-lebih semasa menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan yang penuh berkat itu. Dalam soal memberi sedekah itu, semua orang mampu melakukannya sama ada dalam kuantiti yang banyak mahupun sedikit. Apa yang utama ialah sikap dan niat kita mesti menjuruskan kepada ikhlas kerana Allah SWT. Banyak yang boleh seseorang sumbangkan sebagai sedekah pada bulan Ramadan ini. Antaranya ialah memberikan makan minum kepada orang berpuasa. Dalam masyarakat Melayu, menyediakan juadah untuk berbuka sentiasa diadakan di masjid, surau mahupun di madrasah. Hal itu sangat mulia dan wajar diteruskan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,’ Barang siapa memberikan makanan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa, maka ia memperoleh pahala sama dengan orang yang berpuasa; sedangkan pahala orang yang berpuasa itu sendiri tidak berkurang sedikit pun.' (Hadis At Tirmidzi)

Hadis ini mendorong kita umat Islam supaya tidak mementingkan diri sendiri pada bulan Ramadan, akan tetapi menggalakkan umatnya menjaga kepentingan orang lain. Alangkah indahnya tuntutan Islam ke atas umatnya kerana dengan pengamalan bersedekah khususnya ketika bulan Ramadan pasti membibitkan rasa kebersamaan dan semangat ukhwah yang mantap dalam kalangan ummah. Justeru, ketika kita sedang asyik menunaikan ibadah berpuasa di bulan Ramadan ini, segala amalan sunat dan amal makruf seperti bersedekah seharusnya diperbanyakkan dengan satu niat, hanya ingin mendapat reda Allah. InsyaAllah mereka yang pemurah dalam bulan Ramadan itu pasti ‘dekat dengan Allah’ dan Allah SWT meredainya serta diberikan ganjaran pahala yang besar.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment